BATU PAHAT 10 Dis. - "Jangan perbodohkan sistem kehakiman Malaysia."Amaran tersebut diberikan oleh seorang Hakim Mahkamah Sesyen di sini yang berang selepas seorang warga Indonesia masih menafikan pembabitannya dalam satu kejadian samun ketika diberi peluang membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.
Hakim Abu Bakar Manat selain itu berkata, tertuduh Amaq Elvil, 30, dari Lombok telah memberikan keterangan yang tidak masuk akal dan pembelaannya itu sekadar penafian kosong semata-mata.
''Kamu mengatakan masuk ke negara ini menaiki pesawat yang memerlukan dokumen sah namun selepas diperiksa kamu tidak memiliki sebarang dokumen,'' kata hakim itu.
Tambahan pula kata Abu Bakar, mangsa yang menjadi saksi pendakwaan telah berjaya mengecam tertuduh sebagai orang yang menyamunnya.
Justeru itu, Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan 10 kali ke atas Amaq Elvil dan juga rakannya, Mahmud, 32.
Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang dan kayu ke atas Sazaruddin Ahmad, 35.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bersama dua lagi suspek yang masih bebas, pada pukul 3.05 pagi pada 13 Mei lalu, di No. 76, Kampung Bunagong, Mukim 7, Parit Raja di sini.
Warga asing itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiah Saini menyatakan, kedua-dua tertuduh bersama rakannya menjadikan kawasan kampung yang terletak bersebelahan lebuh raya sebagai sasaran untuk menyamun rumah penduduk di situ.
Pada hari kejadian, mangsa sempat memberitahu salah seorang jiran bahawa rumahnya dimasuki perompak sebelum penduduk kampung menghubungi polis.
Rumah mangsa dan jalan masuk yang digunakan oleh perompak telah dikepung selama sembilan jam.
Tertuduh yang sempat melarikan barang kemas serta wang mangsa yang bernilai RM1,400 kemudian berjaya diberkas oleh Unit Anjing Pengesan, Segamat ketika bersembunyi di sebuah kawasan berlumpur berhampiran kampung berkenaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukumannya diringankan kerana dia terpaksa bekerja untuk menanggung isteri dan anak-anak.
0 ulasan :
Post a Comment
terima kasih karena berkunjung di halaman kami...