SEJAK lima tahun lalu, nama Pulau Lombok, Indonesia menjadi sebutan
masyarakat negara ini gara-gara banyak kes membabitkan lelaki dari
kawasan di Kepulauan Sunda Kecil itu melarikan wanita Malaysia dan
keadaan dikatakan menjadi semakin ‘panas’ apabila ramai anak gadis bawah
umur juga menjadi mangsa.
Walaupun media tempatan berkali-kali menyiarkan laporan bukan saja
mengenai kepiluan keluarga di Malaysia menanggung rindu berikutan
ketiadaan anak, isteri atau ibu yang sanggup meninggalkan keluarga demi
mengejar cinta sang teruna dari Lombok itu, selain keperitan dialami
mangsa yang berjaya diselamatkan, kisah berkenaan tetap tidak dijadikan
iktibar.
Hampir setiap bulan masih ada kes ibu bapa atau keluarga yang mengadu
untuk mendapatkan bantuan sama ada mengesan atau membawa pulang mangsa
yang lari ke Lombok.
Bagi lelaki Lombok pula, mereka seakan-akan
tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat negara ini dan didakwa
mempunyai kelebihan hingga berupaya menawan serta membawa gadis tempatan
mengikut mereka pulang ke tempat asalnya.
Sejauh mana hebatnya jejaka dari tanah seberang itu hingga mampu
meraih cinta gadis Malaysia, sekali gus sanggup membelakangkan keluarga
dan adat resam semata-mata mahu ‘sehidup semati’ dengan kekasih pujaan
mereka.
Ada dakwaan mengatakan jejaka Lombok menggunakan amalan sihir
yang mampu menundukkan gadis tempatan hingga menyebabkan mereka mudah
mendapatkan sesiapa juga yang diinginkan menjadi kekasih dan menurut
segala kemahuan mereka.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, yang
menegaskan, jejaka Lombok sebenarnya pandai bermain kata-kata hingga
mampu ‘mencairkan’ hati wanita.
Menurutnya, itulah keistimewaan
mereka yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk memikat gadis tempatan, sekali
gus memperdayakan mangsa dengan janji manis untuk hidup bahagia
bersama.
“Hakikatnya mereka tidak ada apa-apa, mungkin daripada
aspek kesetiaan cinta ada tetapi adakah gadis itu sanggup menempuh hidup
susah semata-mata mengejar cinta apabila dibawa pulang ke kampung
halaman mereka.
“Mereka (lelaki) sebenarnya datang ke negara ini
untuk mencari rezeki kerana kehidupan di kampung susah, jadi mengapa
perlu kita mengikut mereka sedangkan kita tahu bakal berdepan keadaan
sebegitu.
“Negara kita makmur dengan limpahan rezeki dan
keamanannya hingga ramai orang luar sanggup bergadai nyawa untuk datang,
namun kita pula lari ke tempat orang semata-mata hanya bersandarkan
kepada cinta.
“Akhirnya, kita terjerat dan selepas tidak lagi
mampu menanggung kesusahan baru menyesal dan mula memikirkan keluarga
yang ditinggalkan,” katanya yang banyak terbabit dalam misi
menyelamatkan gadis yang dilarikan jejaka Lombok.
Diakuinya juga
bahawa kes membabitkan gadis lari mengikut jejaka Lombok seperti tiada
kesudahannya kerana pihaknya menerima hampir dua kes sebulan sepanjang
tahun lalu.
Menurutnya, tahun lalu pihaknya menerima 18 kes dan
lima daripadanya berjaya diselesaikan iaitu dapat dibawa pulang dengan
selamat ke pangkuan keluarga masing-masing.
Katanya,
sebahagiannya lagi pihaknya dapat mengesan lokasi mereka dan dalam
proses menguruskan usaha untuk menemui sekali gus membawa mereka pulang.
“Yang
menyedihkan, kebanyakan kes yang diterima membabitkan gadis bawah umur
dan untuk tahun lalu saja kami membuka 10 kes membabitkan gadis berusia
bawah 18 tahun,” katanya.
Menurutnya, menjadi cabaran besar
kepada pihaknya memenuhi harapan yang disandarkan keluarga berkenaan
untuk membantu menyelamatkan anak gadis mereka.
Katanya, memang
menjadi hasrat pihaknya untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka
hadapi, tetapi hakikatnya bukan mudah untuk berurusan serta membawa
gadis yang dibawa ke Lombok itu pulang ke Malaysia.
“Sebenarnya
tindakan kita terbatas kerana selain perundingan dengan keluarga, ia
membabitkan perundangan kerana kebanyakan gadis lari ke Lombok masuk ke
negara berkenaan secara haram tanpa dokumen sah.
“Berdasarkan
maklumat yang kami dapat, ramai gadis dibawa lari ke Lombok melalui
laluan tikus di selatan tanah air sebelum menaiki tongkang ke seberang
dan keadaan ini memungkinkan mereka dikenakan tindakan undang-undang
oleh pihak berkuasa negara jiran itu,” katanya.
Menurut Muhd
Khairun, usaha perundingan dengan keluarga lelaki Lombok juga bukan
mudah kerana betul-betul memerlukan tindakan diplomasi supaya tidak
membangkitkan keadaan tidak puas hati mereka.
Katanya, pihaknya
pernah berdepan pengalaman mencemaskan dengan penduduk di sana ketika
mengendalikan satu kes apabila mereka marah dengan tindakan membawa
pulang gadis yang berkahwin dengan pemuda dari kawasan itu.
“Ketika
itu kami terpaksa berlindung di sebuah balai polis kerana penduduk
kampung dan keluarga pemuda itu mengepung petugas misi dengan
bersenjata.
“Itu sebahagian cabaran yang terpaksa kami hadapi,
belum lagi ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa
akan berlaku sesuatu perkara buruk terhadap kami,” katanya.
Melihat
kepada isu berkenaan seperti tiada kesudahannya, Muhd Khairun
mencadangkan kerajaan menggubal satu peruntukan undang-undang bagi
mendakwa lelaki yang memujuk dan melarikan gadis Malaysia seperti kes
Lombok.
Menurutnya, mungkin cara itu dapat memberi peringatan
kepada mana-mana lelaki, termasuk dari Lombok, supaya tidak
sewenang-wenangnya memperdaya atau mengambil kesempatan terhadap gadis
Malaysia.
“Saya juga ingin memberi amaran kepada pekerja asing,
terutama dari Lombok, supaya meninggalkan budaya di tempat mereka jika
benar-benar mahu mencari rezeki di negara ini.
“Hormatilah
budaya di Malaysia dan jika benar-benar jatuh cinta dengan gadis di
sini, patuhi adab resam yang ada, bukan membawa lari gadis sesuka hati
mereka,” katanya.
INFO
Lombok adalah sebuah pulau di kepulauan Sunda Kecil atau Nusa Tenggara
Ia dipisahkan oleh Selat Lombok dari Bali di sebelah barat dan Selat
Alas di sebelah timur dari Sumbawan Pulau mempunyai keluasan 4,725
kilometer persegi
Mataram adalah bandar utamanya
Penduduknya melebihi dua juta orang
Lebih kurang 80 peratus penduduknya daripada suku Sasak dan sebahagian besarnya memeluk agama Islam
Di kalangan mereka ada golongan yang menganut agama Islam tempatan yang dipanggil Wetu Telu
Baki penduduk di Pulau Lombok adalah orang Bali, Jawa, Cina dan Arab
sumber:
koran MALAYSIA H.Metro