SEREMBAN: Surau Taman Pulai Impian, Sikamat dekat sini disimbah dengan cat merah dan dibaling dengan botol arak hari ini.
Pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, berkata kejadian itu disedari oleh jemaah surau semasa solat subuh pagi ini dan memaklumkan kepadanya.
"Kejadian ini saya rasa berlaku antara 3.30 pagi dan 4 pagi dan saya membuat laporan polis secara rasmi," katanya kepada Bernama.
Mohd Hasbi berkata, selain empat botol arak dibaling di hadapan bangunan surau, terdapat kesan cat warna merah di dinding, lantai dan pintu cermin bahagian kanan surau.
"Saya rasa amat sedih dan kesal atas kejadian yang berlaku kerana mencemari rumah ibadat orang Islam dan kesucian bulan Ramadan," katanya.
Surau yang tidak berpagar itu baru digunakan pada 24 Julai lalu.
"Saya anggap ini adalah satu perbuatan khianat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Saya tidak tahu apakah motif sebenar mereka yang melakukan kerja ini dan berharap pihak polis akan menyiasat sehingga tertangkapnya mereka yang terlibat dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.-Bernama
0 ulasan :
Post a Comment
terima kasih karena berkunjung di halaman kami...