Monday, August 9, 2010

menghitung hari. LIANA akan melahirkan tampa suami di sisi.


SIBU: Liana Abdullah, remaja yang dibawa pulang ke sini tiga bulan lalu selepas bernikah dengan jejaka dari Lombok, Indonesia serta dibawa ke negara itu dan kini mengandung tujuh bulan, hidup sengsara di sebuah bilik kecil yang disewa bersama tiga yang lain selepas suaminya tidak lagi menghantar nafkah.

Remaja berusia 16 tahun itu, tinggal di bilik yang disewa RM180 sebulan, berbekalkan sebuah televisyen sebagai sumber hiburan hariannya sementara menanti kehadiran anak sulungnya.
Tiga wakil Puteri Umno Malaysia dan media ke kediamannya di Jalan Tan Sri, di sini baru-baru ini bagi meninjau kesusahan hidup remaja itu, tersentuh sebaik melihat keadaan bilik kecil yang didiaminya.

“Inilah bilik yang menjadi tempat saya berteduh siang dan malam bersama nenek, Jinah Raya, 44, bapa saudara berusia 24 tahun dan sepupu berusia tujuh tahun.

“Saya mula berpindah sebulan lalu kerana kesempitan hidup selain bimbang keadaan diri yang sarat mengandung tujuh bulan,” katanya.

Kes Liana sebelum ini mendapat liputan meluas media selepas didakwa dilarikan suaminya, Tohri Jadi Jaya, 22, ke Lombok, Indonesia sebelum dibawa pulang oleh Biro Aduan Awam Komuniti Pemuda Umno, tiga bulan lalu.

Beliau turut mendakwa menghadapi masalah kewangan berikutan suami tidak menghantar nafkah bulanan dan kini bergantung sepenuhnya kepada bapa saudara yang bekerja sebagai tukang sapu dengan pendapatan RM700 sebulan.
“Lebih menyedihkan apabila suami yang kini menetap di Lombok tidak lagi menghubungi sejak dua bulan lalu kerana kesempitan wang selepas kehilangan kerja sebaik pulang ke negara itu. Saya akan mencari pekerjaan selepas melahirkan anak bagi menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada Puteri Umno yang prihatin dan sanggup datang dari jauh untuk memberi sumbangan pelbagai barangan kelengkapan bayi.

Pengerusi Biro Kebajikan dan Khidmat Sosial Puteri Umno Malaysia, Zauyah Zainuddin berkata, kesusahan Liana yang dipaparkan di akhbar menyebabkan mereka tampil menyalurkan bantuan.

Katanya, selain bantuan kelengkapan bayi dan wang tunai, pihaknya membantu berurusan dengan pihak hospital untuk remaja berkenaan melahirkan bayi.

0 ulasan :

Post a Comment

terima kasih karena berkunjung di halaman kami...