Dr. M sifatkan perbuatan lempar najis bodoh
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan perbuatan sesetengah pihak di Indonesia yang melempar najis manusia ke dalam premis Kedutaan Malaysia di sana dan membakar Jalur Gemilang sebagai tanda protes merupakan tindakan orang bodoh.
Bagi beliau, perbuatan itu hanya dilakukan oleh golongan yang tidak berpelajaran dan tidak harus dicontohi atau ditiru oleh rakyat Malaysia ketika mahu menyuarakan bantahan.
"Orang ini dia tidak ada pelajaran. Dia bodoh. Sebab itu dia buat macam itu," katanya kepada pemberita sebelum melancarkan Konvoi Darat Kelima Viva Palestina Malaysia (VPM) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi VPM, Datuk Adnan Mohd. Tahir serta beberapa anggota konvoi itu.
Beliau menambah, rakyat Malaysia juga perlu menyuarakan protes terhadap perbuatan seperti itu namun ia perlu dilakukan secara berhemah.
Dalam pada itu, Adnan memberitahu, konvoi VPM ke Gaza bertemakan 'Bantuan Hidup Sejagat ke Gaza' (Global Lifeline to Gaza) kali ini akan memulakan perjalanan dari London, United Kingdom pada 18 September ini ke Rafah, Mesir sebelum memasuki Gaza.
Menurutnya, perjalanan selama 25 hari dengan melalui negara Perancis dan Jerman itu akan disertai oleh kira-kira 100 kenderaan daripada konvoi antarabangsa lain seperti dari Doha, Qatar dan Casablanca, Maghribi.
Setakat ini katanya, VPM berjaya membeli tiga trak yang diisi bahan makanan dan perubatan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin dan setiap satu trak membawa muatan bernilai RM55,000.
Di antara keunikan konvoi VPM ke Gaza kali ini ialah ia turut disertai dua wanita tempatan iaitu Azra Banu dan Siti Azura Nordin Torji yang bersedia untuk memandu ke Palestin dari London bagi menyampaikan bantuan berkenaan.
0 ulasan :
Post a Comment
terima kasih karena berkunjung di halaman kami...