Tuesday, July 20, 2010

Pengemis seksi jadi kaya kerana Internet


NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.

Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.

Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.

Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.

Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.

Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.

Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.

Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.

Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.

Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi

0 ulasan :

Post a Comment

terima kasih karena berkunjung di halaman kami...