Wednesday, June 30, 2010

3 penjenayah dari Lombok diburu

BATU PAHAT: Sebelum ini, lelaki dari Lombok, Indonesia lebih banyak dikaitkan dengan kes melarikan anak dara ke kampung halaman, namun kebelakangan ini, beberapa kumpulan lelaki dari kawasan terbabit mula bertindak ganas dengan melakukan samun bersenjata di Johor Utara.

Difahamkan, sejak tahun lalu beberapa kumpulan membabitkan lelaki Lombok diberkas polis bersabit kira-kira 50 kes pecah rumah dan samun bersenjata.


Malah, sejak tiga bulan lalu sekumpulan lima lelaki Lombok termasuk tiga penjenayah yang sudah lama tinggal di sini secara haram dikatakan bergiat aktif menyamun 11 rumah di sekitar daerah ini, Ledang dan Segamat.


Taktik mereka mudah, pecah masuk dalam rumah mangsa yang sudah dikenal pasti, kumpulkan penghuni di ruang tamu sebelum menyamun dengan mengugut menggunakan parang dan pisau dibawa.


Selain itu, kumpulan berkenaan yang sering bergerak menggunakan Proton Waja milik seorang ahli kumpulan sering menjadikan rumah kongsi sebagai persinggahan dan tempat tidur, dipercayai bagi mengelak dikesan polis jika bermalam di hotel murah.


Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam kejadian terbaru 19 Jun lalu, sekumpulan lima lelaki Lombok berusia antara 32 hingga 40 tahun memecah masuk sebuah rumah di Kampung Parit Arif, Seri Medan di sini.


Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, tiga daripada lima lelaki itu memasuki rumah mangsa dari pintu depan manakala dua rakan lain menunggu di luar.


Menurutnya, mereka yang bersenjatakan parang dan pisau itu kemudian mengumpul tiga anak mangsa yang tidur di ruang tamu, sebelum mengambil tong gas dari dapur dan cuba memecahkan bilik pasangan suami isteri berkenaan.


“Terkejut dengan hentaman kuat yang dilakukan suspek, pasangan berkenaan menjerit meminta tolong sebelum jiran kampung datang menghulurkan bantuan, manakala lima suspek yang ketakutan selepas mendengar jeritan mangsa terus melarikan diri.


“Polis yang menerima laporan bergegas ke tempat kejadian dan melakukan siasatan termasuk menubuhkan pasukan khas, menggunakan unit anjing pengesan dan kerjasama penduduk kampung bagi mengesan kumpulan berkenaan.


“Semua usaha itu berhasil apabila kira-kira jam 2.40 petang hari sama, kurang 10 jam dari waktu kejadian, kami menerima maklumat dan berjaya memberkas dua daripada lima suspek berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki berkenaan ditahan hasil serbuan di sebuah rumah kongsi Indonesia di Kampung River Estet, Yong Peng.


Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 dan 40 tahun dari Lombok mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah menggunakan parang dan pisau sebagai senjata.


“Hasil siasatan susulan, mereka mengaku terbabit dalam 11 kes pecah rumah, termasuk enam kes di Yong Peng, Ayer Hitam (tiga) dan dua lagi di Seri Medan.


“Selain di sekitar daerah ini, suspek mengaku terbabit dalam lima kes pecah rumah di daerah lain iaitu tiga kes di Ledang dan dua di Segamat dan mereka bergerak menaiki Proton Waja milik dalang kumpulan yang juga dari Lombok,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau sebat.


Katanya, baki tiga lelaki Lombok yang masih bebas sudah dikenal pasti dan pihaknya berharap orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

0 ulasan :

Post a Comment

terima kasih karena berkunjung di halaman kami...