BANGI: “Saya kini berada di Bandung bersama Ronny,” demikian kata Nurhidayah Sahari atau panggilan mesranya, Dayah, 18, yang hilang dari rumah sejak Jumaat lalu dipercayai mengikut seorang lelaki warga Lombok, Indonesia untuk berkahwin di sana.
Berita mengejutkan itu diterima bapanya, Sahari Talib, 50, kira-kira jam 3 petang semalam ketika dia dihubungi Dayah dari Bandung dan tidak menolak kemungkinan anaknya itu akan dibawa ke Lombok. Sahari berkata, dia tidak menyangka usaha menghalang anaknya itu keluar dari negara ini tidak berjaya malah lelaki Lombok itu lebih pantas bertindak melarikan anak ketiganya itu. “Dayah memberitahu sudah berada di Bandung sejak tiga hari lalu dengan menaiki kapal terbang.
“Saya sempat bertanya Dayah kenapa dia berbuat demikian dengan melarikan diri bersama teman lelakinya itu, tetapi Dayah hanya mendiamkan diri dan tidak menjawab pertanyaan itu,” katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro, semalam. Beliau juga risau dengan keadaan isterinya, Noraini Adnan, 44, yang kini asyik menangis siang dan malam mengenangkan keselamatan anaknya itu. “Saya sempat memberitahu isteri berita malang ini dan ternyata dia amat terkejut dan bimbangkan keselamatan Dayah yang berada seorang diri di negara orang,” katanya.
Dia berharap ada pihak lain dapat membantu mengembalikan anaknya itu kerana dia yakin Dayah sudah 'diguna-gunakan' oleh jejaka Lombok itu hingga lupa kepada keluarga dan sanggup bertindak mengikutnya lari. Akhbar ini semalam melaporkan seorang remaja berusia 18 tahun melarikan diri dari rumahnya di Semenyih, di sini semata-mata untuk mengikut kekasihnya seorang lelaki Lombok, Jumaat lalu. Mangsa dilaporkan hilang dari rumah pada hari jadinya selepas ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Bandar Baru Bangi, di sini. Dia dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia dari Lombok, sejak dua bulan lalu.
Kehilangannya disedari ibu selepas anaknya tidak pulang ke rumah pada hari berkenaan.
0 ulasan :
Post a Comment
terima kasih karena berkunjung di halaman kami...