Malaysia dan Indonesia wajar berperanan besar dalam membentuk, mencorak, menggerak serta mempengaruhi dinamika geopolitik Asia Tenggara dalam era pasca 9/11 bagi mengimbangi dominasi Amerika Syarikat (AS) yang bimbang terhadap supremasi globalnya apabila China kini bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia, dan mungkin ketenteraan pada masa depan.
Gagasan ini berasaskan hipotesis kewujudan pihak ketiga yang berhasrat mengadu-domba Malaysia dan Indonesia ke peringkat paling maksimum atas motivasi politik domestik, politik dua hala atau geopolitik serantau dan global.
Lantaran itulah, hubungan Malaysia-Indonesia kontemporari sering dilanda gelora diplomasi kerana majoriti kerenah aktor bukan negara perlu distrategikan semula berpaksikan prinsip interdependensi yang positif serta selaras dengan dinamika geopolitik serantau dan sejagat di abad ke-21.
Inisiatif ini perlu dilaksanakan secara komprehensif, bersepadu dan merangkumi dimensi kerajaan serta rakyat jelata di Kuala Lumpur-Jakarta agar tersimpul jalinan muhibah yang rasmi atau sebaliknya, di semua peringkat kehidupan meliputi agama, budaya, pendidikan, ekonomi, perdagangan, politik dan geopolitik.
Antara aspek geopolitik yang perlu difokus dan distrategikan adalah program dan dasar anti-terorisme, keselamatan maritim, keselamatan tenaga serta lain-lain fenomena keselamatan bukan tradisional termasuk jenayah rentas sempadan.
Aspek ini penting kerana ia adalah antara faktor semasa yang menjadi asas kepada dasar keselamatan, pertahanan, dasar luar, ekonomi dan tenaga AS yang sedang dicengkam paradoks unipolariti dunia.
Oleh sebab itulah, AS yang mengundurkan seluruh tenteranya dari pangkalan laut dan udaranya di Filipina mulai 1979, akibat tewas dalam Perang Vietnam (1953-1975), kini kembali bertapak di Asia Tenggara.
Tindakan ini dilegitimasikan menerusi perisytiharan AS pada 15 Februari 2002, bahawa seluruh Asia Tenggara adalah lawang kedua kepada perang terorisme global, walaupun tenteranya sekadar aktif di selatan Filipina, sedangkan Indonesia adalah mangsa sasaran terorisme dalam bentuk ledakan bom paling utama dalam tempoh 2002-2009.
Tindakan ini juga dihalalkan oleh pelabelan musuh-musuh perang terorisme di Asia Tenggara mutakhir ini sebagai teroris dan militan Muslim proksi al-Qaeda yang mengancam keselamatan AS serta sekutunya di serata jagat walaupun proses pensekuritisasinya tidak dilakukan secara komprehensif.
Musuh-musuh ini hanya diketengahkan kepada khalayak dunia dalam era pasca 9/11 menerusi propaganda media cetak, elektronik dan digital yang memfokus sepenuhnya kepada kepentingan barat menerusi kewartawanan yang tidak diganding dengan bukti kukuh, tetapi dilakukan secara bertubi-tubi.
Biarpun ramai penganalisis barat menyatakan apa yang disifatkan sebagai teroris dan militan Muslim di Asia Tenggara hanya mempunyai objektif politik yang lokal, namun propaganda tersebut tetap menghebahkan kelompok tersebut sebagai mempunyai jaringan antarabangsa yang nyata sehingga kononnya mampu mewujudkan Daulah Islamiah dari Thailand hingga ke Australia.
Impak propaganda ini membolehkan sesetengah negara satelit barat atau sekutu rapat AS di Asia Pasifik mencorak dan mewarnakan geopolitik kontemporari Asia Tenggara dalam era pasca 9/11 bagi memenuhi cita rasa AS ke peringkat maksimum.
Ini kerana mereka adalah pakar dalam selok-belok perang saraf, propaganda hitam, operasi bendera palsu dan mungkin juga terorisme negara bagi melegitimasikan sesuatu perancangan agung di sesebuah rantau sasarannya berdasarkan paradigma realisme total.
Dalam tempoh yang sama, wujud pula pihak-pihak tertentu yang mengadu-domba Malaysia dan Indonesia sejak 2002 supaya hubungan diplomasi kedua-dua negara jadi berantakan ke tahap yang parah.
Perkembangan sebegini pasti akan memudahkan AS mencapai cita-citanya untuk menguasai secara fizikal seluruh aspek keselamatan maritim di Selat Melaka yang mana Malaysia dan Indonesia merupakan negara pesisir yang enggan mengkompromikan kedaulatan perairan tersebut kepada mana-mana kuasa asing.
AS memang sentiasa berusaha untuk menguasai keselamatan Selat Melaka secara fizikal dan total sejak 2002, kerana perairan ini penting kepada strategi maritim dan strategi tentera lautnya di Asia Tenggara dalam era pasca 9/11.
Usaha ini juga bertujuan membolehkan AS menguasai seluruh laluan maritim kepada petroleum yang diangkut dari Asia Barat ke Asia Timur selaras dengan strategi keselamatan tenaga negara tersebut serta sekutunya di rantau Asia Pasifik.
Tetapi, matlamat tersirat kepada strategi proaktif ini adalah untuk memudahkan AS mengimbangi atau mungkin menyekat kebangkitan China secara ekonomi dan militari jika kebangkitan tersebut mengancam supremasi global AS di hari-hari mendatang.
Aspek keselamatan energi pula menjadi antara komponen penting geopolitik AS di Asia Tenggara bagi menjamin kekuasaan negara tersebut dalam industri petroleum dunia yang dilaksanakan oleh pihak barat, khususnya AS, menerusi strategi bersepadu di bidang pengeluaran, pemasaran, pengedaran, pengangkutan serta penentuan harganya.
Aspek ini kritikal kepada AS kerana jawatankuasa yang menggubal polisi keselamatan energinya mengeluarkan laporan pada 2001 yang menegaskan bahawa pengeluaran petroleum di hemisfera utara kini makin pupus sementara 50 peratus minyak dan 33 peratus gas untuk menampung keperluan domestik AS pada tahun 2020 dijangka terpaksa diperoleh dari sumber import, majoritinya dari Asia Barat.
Aspek ini menjadi lebih kritikal kepada AS apabila China dan India menjadi pesaing terbesar kepada penggunaan minyak dan gas dunia pada abad ke-21. Tetapi, oleh kerana India sudah menjadi sekutu AS dalam era pasca 9/11, maka hanya faktor China sahaja yang kini membimbangkan AS dalam konteks geopolitik dan keselamatan energinya di Asia Tenggara pada hari muka.
Oleh sebab itulah, strategi militarisasi AS berkait keselamatan energinya yang kini wujud di Asia Barat berkemungkinan besar diperluaskan skopnya ke lain-lain negara rantau Asia, termasuk di Asia Pasifik, terutama sekali di Asia Tenggara.
Maka, di sinilah relevannya hubungan Malaysia-Indonesia dalam konteks geopolitik AS di Asia Tenggara dalam era pasca 9/11 kerana ia penting untuk mengimbangi kehadiran fizikal tentera AS di rantau ini serta mengimbangi pengaruh serta kebangkitan China yang kini melaksanakan strategi diplomasi mesra terhadap anggota ASEAN.
Keseluruhan anggota ASEAN mungkin satu hari kelak terperangkap dengan strategi geopolitik AS di rantau ini jika Malaysia dan Indonesia tidak mampu berperanan besar dalam konteks tersebut.
Jika ini terjadi, kemungkinan besar negara-negara Asia Tenggara dicengkam dilema keselamatan yang serius sama seperti dalam era Perang Dingin yang dipropagandakan akibatnya menerusi teori domino AS di rantau ini.
Selanjutnya, antara aspek bilateral Malaysia-Indonesia yang penting dititikberatkan dalam kajian dan menstrategikan semula hubungan kedua-dua negara ini adalah termasuk kewujudan suatu mekanisme tetap bagi menyelesaikan apa jua masalah, perbezaan, krisis dan konflik antara mereka.
Jika faktor tenaga kerja, contohnya, sering dijadikan isu yang menyemarakkan kemarahan sesetengah aktor bukan negara di Indonesia terhadap Malaysia, perlulah diwujudkan mekanisme tetap bagi mengatasi seluruh matlamat bercanggah di kalangan kedua-dua negara mengenai aspek ini.
Malaysia dan Indonesia memang sejak berpuluh tahun lalu mempunyai mekanisme tetap seperti Jawatankuasa Am Sempadan serta lain-lainnya. Bagaimanapun mekanisme ini tidak menyeluruh, tidak bersepadu dan kebanyakannya cuma bermesyuarat secara berjadual setahun atau dua tahun sekali.
Seterusnya, Malaysia perlu memberikan prominen kepada perwakilannya di Indonesia supaya memanifestasikan prinsip saling hormat-menghormati antara sahabat senusantara dan sentiasa berperanan penting dalam mencorakkan dinamika diplomasi dua-hala dan geopolitik serantau.
Ini bermakna Kedutaan Malaysia di Indonesia perlu dijadikan jambatan muhibah antara kedua negara menerusi pelbagai pendekatan dan program yang selaras dengan kepentingan nasional Kuala Lumpur-Jakarta dan selaras dengan tuntutan era pasca 9/11.
Penstrategian ini pasti akan membolehkan Malaysia dan Indonesia mengetengahkan world view dan pendirian yang berwibawa serta bebas dalam konteks geopolitik serantau, terutamanya mengenai inisiatif anti keganasan, keselamatan tenaga dan lain-lain isu keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Ia juga akan lebih mengharmoni dan memantapkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia secara diplomasi atau tidak formal supaya kedua-dua negara menjadi pemain utama dalam usaha mengelakkan perkembangan negatif yang boleh muncul akibat percaturan geopolitik AS terhadap China atau sebaliknya, di Asia Tenggara, di hari muka.
0 ulasan :
Post a Comment
terima kasih karena berkunjung di halaman kami...